Jenazah Abdul Fatah Selamat Dikebumikan

Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Bayi tercampak keluar kereta

IPOH: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan memeranjatkan anggota bomba dan penyelamat apabila didapati masih selamat dan hanya luka ringan selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki sejurus kenderaan itu terbabas ke bahu lebuh raya. Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, bayi terbabit, Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli ditemui menangis di atas jalan raya sebelum diangkat dan segera dihantar ke hospital.

Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli, 3 bulan.

Ketika kejadian, ibu mangsa, Suriani Abdul Latif, 31, cedera parah dan tidak sedarkan diri manakala adik Suriani, Abdul Fatah Abdul Latif, 27, yang memandu kereta maut di tempat kejadian. Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Abdul Fatah gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang tepi lebuh raya berhampiran Kilometer 290, Lebuhraya PLUS, dekat Simpang Pulai, di sini.

Suriani ketika ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun berkata, dia tidak sedar apa berlaku kerana tidur sambil mendakap bayinya di tempat duduk depan. Menurutnya, Fatah yang bekerja sebagai kerani di Universiti Perguruan (Pendidikan) Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim sebelum itu mengambilnya di rumah di Bukit Sri Sentosa, Bukit Beruntung, Selangor untuk pulang bersama-sama di kampung mereka di Manong, Kuala Kangsar.

“Saya hanya tersedar pagi ini di katil hospital dengan kulit kepala terkoyak dan mulut pecah.

“Apa yang saya fikirkan hanya keadaan bayi dan seorang lagi anak saya, Nik Fawas Iskandar Mohd Fazli, 5, yang ketika itu di tempat duduk belakang,” kata surirumah berkenaan.

Menurutnya, dia masih terkejut dengan kejadian itu berikutan adiknya sebelum itu sempat berbual dan menyatakan hasrat melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya tidak lama lagi. Sementara itu, suami mangsa, Nik Mohd Fadhli Nik Mohd Hasnuddin, 33, yang ditemui di hospital itu berkata, dia dimaklumkan berhubung kemalangan itu oleh anggota polis trafik Ipoh, kira-kira jam 10 malam kelmarin. Dia yang bertugas sebagai pegawai Rela di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields mendakwa ketika itu menjalani kursus dua minggu di Kem Sungai Udang Melaka.

“Akibat terlalu terkejut, saya pitam beberapa minit sebelum dihantar menaiki kereta oleh rakan setugas ke hospital di Ipoh bagi melawat isteri dan dua anak.

“Paling merunsingkan saya ketika itu adalah keadaan bayi perempuan saya. Saya dimaklumkan dia melambung keluar dari kereta itu sebelum jatuh ke atas jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana bayinya terselamat dan hanya mengalami keretakan kecil di belakang kepala selain luka ringan di dahi.

“Namun saya diberitahu doktor bahawa seorang lagi anak saya, Nik Fawas patah kaki kiri selain retak pada belakang tempurung kepala, menyebabkan pendarahan dalaman,” katanya.

Nik Fawas patah kaki kiri dan retak pada belakang tempurung kepala.

Menurutnya, sebelum itu dia rasa tidak sedap hati dan tidak membenarkan isteri dan anaknya pulang ke kampung, namun isterinya tetap mahu meneruskan hasrat itu. Dua lagi anaknya, Nik Nur Farah Aliya, 4, dan Nik Nur Farahana, 2, berada di kampung ketika kejadian. Sementara itu, jenazah Abdul Fatah dituntut ahli keluarga di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun jam 1 pagi semalam untuk dikebumikan di kampung halamannya.

Sumber: Blog Cikgu Zuhairi Manong, Harian Metro Online

0 comments:

Related Posts with Thumbnails