Marah - Tips Untuk Pendek Umur

Oleh Norhuriyatina Salleh

Sifat marah adalah sifat yang pastinya ada dalam diri setiap manusia. Tidak kira apa pun pangkat dan darjat mahupun peringkat umur, pastinya mempunyai perasaan marah. Sifat marah itu juga ditimbulkan oleh sifat bongkak yang terpendam dalam kalbu setiap orang sebagaimana terpancarnya api daripada batu yang dipukul pada besi. Sifat marah ini mungkin berpunca daripada perasaan tertekan, merasa dizalimi, dikhianati, diperkecilkan, dan sebagainya. Terdapat satu penyelidikan mengatakan bahawa manusia itu ada kalanya urat sarafnya ditarik oleh syaitan ketika marah. Maka, bererti eratlah hubungannya dengan syaitan pada sesiapa yang dipengaruhi oleh api kemarahan.

Pada tahap permulaan, sifat marah itu bukanlah satu penyakit. Ia hanyalah luahan yang dilahirkan oleh seseorang dalam bentuk tindakan dan tingkahlaku. Sifat marah yang sudah bertapak di hati, jika tidak dikawal, lama kelamaan akan memakan diri sendiri dan akan membawa padah kepada orang-orang yang kita sayangi serta membawa keburukan dan kemudaratan kepada keadaan disekeliling kita. Oleh hal yang demikian, Islam mengajarkan kepada kita satu ubat yang terbaik bagi mengawal perasaan marah iaitu dengan disirami diri dengan air melalui berwuduk.

Sifat marah berasal daripada syaitan, kerana syaitan itu dijadikan daripada api. Ingatlah, bahawa api itu boleh dipadamkan dengan air. Maka apabila seseorang itu sedang marah, sebaik-baiknya dia terus mengambil wuduk´, kerana air yang disapukan dianggota wudhu´ bukan sahaja dapat menjauhkan diri dari godaan dan hasutan syaitan, malah ini juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas kerana kemarahan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk dengan air. Maka, sesungguhnya marah itu daripada api.” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, ada menyebut bahawa Imam Al-Ghazali berkata: "Orang yang marah keadaanya adalah sama dengan anjing yang galak dan binatang yang buas. Sebaliknya, orang yang tenang keadaannya adalah seumpama nabi-nabi, wali-wali, alim ulama, dan ahli hikmat. Seseorang boleh memilih untuk menyerupai binatang buas atau manusia yang terpuji."

Sifat marah itu sendiri sebenarnya lebih banyak memberi sesuatu keburukan daripada kebaikkan. Pertamanya, perasaan marah membawa kepada sifat yang tercela dan rasa serba salah. Sewaktu kita sedang marah pastinya kita tidak akan terfikir apa kesannya, dan apabila keadaan menjadi reda, baru kita menyesal dengan apa yang kita lakukan sebelumnya. Perasaan marah juga sebenarnya memendekkan umur seseorang. Ia juga mengganggu kualiti kesihatan seseorang yang boleh menyebabkan kematian mengejut. Oleh sebab itu janganlah cepat marah kerana ia akan mempercepatkan kematian kita dan menjadikan wajah kita kelihatan lebih tua dari umur yang sebenar.

Orang yang cepat marah atau sedang marah biasanya terdorong melakukan perkara-perkara yang tidak siuman. Ia mungkin akan memaki hamun, merosakkan sesuatu, memudaratkan orang lain dan hilang pertimbangan yang akhirnya menyesali segala yang telah dilakukannnya apabila telah hilang perasaan marahnya.

Dalam masyarakat kita yang kaya dengan bahasa-bahasa kiasan yang menunjukkan betapa buruknya perbuatan mereka yang tidak siuman kerana gagal mengawal perasaan marah. Kata-kata kiasan seperti, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Semuanya menunjukkan betapa buruknya akibat daripada kata-kata atau perbuatan yang berlaku sewaktu dalam keadaan marah.

Orang yang dapat menahan diri dari dikuasai oleh sifat marah akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan usahanya, sebagaimana Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga.” (Riwayat Bukhari)

Sememangnya marah adalah satu penyakit yang sepatutnya kita hindarkan seberapa boleh. Namun begitu, marah juga perlu dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikut ajaran Islam. Seorang ketua keluarga pula bertanggungjawab ke atas mereka yg berada di bawah tanggungjawabnya. Jika mereka yang di bawah tanggungjawabnya melanggar perintah Allah dengan sengaja, ketua keluarga wajib menegur dan memarahinya. Tetapi harus diingat bahawa marah tersebut bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan kaki dan tangan sehingga memukul. Tetapi marah tersebut mestilah marah yang bertujuan mendidik untuk menunjukkan bahawa perbuatan yang dilakukan adalah salah disisi agama. Inilah cara Islam mengarahkan sifat marah yang semulajadi ada pada diri manusia, agar ia membawa kebaikan kepada manusia, dan bukan membawa kebinasaan.

Oleh hal yang demikian, di dalam menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus mengambil sikap bertolak ansur dan persefahaman sesama manusia. Hindarkanlah segala sebab atau punca yang menyebabkan orang lain memarahi kita. Sekiranya kita dimarahi, jangan pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan tersebut. Hadapilah orang yang sedang marah dengan membantu dirinya menghilangkan kemarahannya dengan bijaksana.

Sumber: Laman Web Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

0 comments:

Related Posts with Thumbnails